Jun 15, 2008

Mahadzir, YAB Pak Lah, Anwar dan Nik Aziz digesa duduk semeja berbincang, bagi mengelak musuh mengambil kesempatan terhadap kita


MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menyeru pemimpin-pemimpin Melayu Muslim agar duduk semeja atas semangat persaudaraan untuk menyelesaikan masalah negara yang sedang dihadapi kini.

Dr Asri membuat seruan ini setelah melihat perkembangan politik yang tidak berapa sihat dewasa ini.

“Memandangkan masa depan umat Islam yang mula goyah maka saya merayu pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam agar dapat duduk semeja atas semangat persaudaraan Islam bukan atas semangat politik kepartian,” kata Dr Asri ketika dihubungi di sini tengahari.

Katanya lagi, masa depan negara dan umat lebih utama daripada segala-galanya.

“Maka saya merayu kepada tokoh-tokoh yang mempunyai hubungan baik dengan saya iaitu Tun Mahathir, Datuk Seri Abdullah Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz agar sudi duduk semeja demi kepentingan negara,” jelas Dr Asri.

Menurut Dr Asri, keadaan politik semasa membuat beliau terpanggil untuk membuat rayuan ini.

“Disebabkan ketidaksefahaman ini, orang lain mengambil kesempatan dan ini bukanlah masa yang sesuai untuk kita terus bertelagah,” katanya.

http://drmaza.com

No comments:

Post a Comment