Oct 24, 2008

Jangan Taklid Buta - Buka minda kita wahai pemimpin politik -

Pendapat berikut adalah dari Dr Asri, Saya suka pendapatnya yang terbuka dan tidak terkongkong, pemikiran lama.

Politik Yang Matang

Saya ingin memuji sikap di Parlimen yang ditunjukkan oleh YB Kulim Bandar Baru semalam yang mengkritik perkara-perkara yang tidak dipersetujuinya sekalipun perkara-perkara tersebut dilakukan oleh partinya sendiri.

Negara kita memerlukan politik yang merdeka seperti ini. Walaupun barangkali bukan semua yang dibangkitkannya itu saya setujui, namun sikap tidak bertaklid buta yang ditunjukkannya patut dipuji.

Islam melarang seseorang mengikut individu atau parti tanpa berfikir, atau menyokong apa sahaja sekali pun bertentangan dengan prinsip yang diyakini. Kita perlu melakukan tajdid atau pembaharuan ‘orang-orang politik’ daripada mengikuti apa sahaja tindakan parti mereka kepada menilai setiap sesuatu berdasarkan kepada dalil dan fakta.

Sila baca artikel saya: IKUT DALIL DAN FAKTA, BUANG TAKLID BUTA

Isu Masjid Cina

Isu Masjid Cina yang ditimbulkan juga oleh YB Kulim di Parlimen semalam juga sebenarnya telah pun saya bangkitkan pada Bulan Januari 2007, kira-kira setahun setengah yang lepas. Media telah membantu saya membangkitkan isu ini.

Malangnya cadangan saya agar komuniti cina muslim mempunyai masjid sendiri yang pengurusannya mampu memahami masalah mereka, diuruskan oleh mereka sendiri, menggunakan bahasa yang lebih difahami oleh mereka dan memahami budaya mereka ditentang oleh kelompok agama yang sempit pandangan.

Kelompok ini menganggap seakan Islam di Malaysia mestilah beridentitikan melayu. Padahal, sudah lama masyarakat cina muslim memohon masjid yang seperti itu. Ramai orang cina yang menganut Islam apabila terputus hubungan dengan masyarakat melayu seperti bercerai atau bergaduh tidak tahu tempat tuju yang lebih memahami mereka. Kewujudan masjid cina dapat membantu mereka.

Setelah 50 tahun merdeka, orang bukan Islam terlalu ramai yang tidak faham dengan Islam. Bahkan segala sikap negatif melayu dianggap oleh sesetengah mereka sebagai Islam. Ertinya dakwah tidak berjalan dengan baik. Mesej Islam tidak sampai.

Kita patut bertanya ke mana pergi peruntukan yang begitu banyak yang diperolehi oleh badan-badan Islam yang mendapat bajet setiap tahun? Sebahagian badan ini dinamakan kemajuan Islam. Apakah Islam telah maju dalam hal in?

Hari ini, masih kelihatan prajudis yang tinggi antara muslim dan bukan muslim dalam keadaan tertentu. Jumlah yang tertarik kepada Islam juga tidak setara dengan bajet dan belanja atas nama Islam yang begitu banyak dikeluarkan. Maka rancangan mewujudkan masjid cina mestilah diteruskan agar komuniti kaum yang begitu besar dalam negara ini tersebut lebih dapat memahami Islam.

Mata Pelajaran Fekah Interaksi Antara Agama

Saya pernah mencadangkan pada pertengahan tahun 2007 agar kerajaan memperuntukan mata pelajaran khas untuk pelajar-pelajar muslim Fekah Interaksi Antara Agama. Tujuannya agar seorang muslim memahami prinsip, adab dan hukum Islam dalam berinteraksi dengan non-muslim.

Dengan kefahaman Islam yang luas, dan bebas dari pemikiran hukum yang sempit dan jumud maka interaksi antara seorang muslim dan bukan muslim mampu menjadi saluran yang mempromosi keindahan Islam. Di samping dapat mempertahankan prinsip-prinsip Islam.

Dalam negara yang berbilang kaum dan perbezaan serta salah sangka yang makin meningkat usaha ke arah masyarakat lebih memahami Islam yang sebenar amatlah perlu disegeraka.

Lihat artikel saya: KEPERLUAN FEKAH INTERAKSI DENGAN BUKAN MUSLIM

No comments:

Post a Comment