Kenyataan Media Peguam Berkaitan isu DNA
post info
By Anwar Ibrahim
Categories: Anwar
Kuala Lumpur, Malaysia, 18hb Julai 2008.
Kenyataan yang dibuat oleh oleh pegawai kanan kerajaan telah menimbulkan tanda tanya terhadap kredibiliti perlaksanaan undang-undang, serta kemungkinan adanya konspirasi untuk memburukkan kredibiliti dan reputasi anak guam kami. Kenyataan mereka cuba menggambarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan bekerjasama dengan polis.
Kami merujuk kepada komen yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dimuatkan di muka hadapan akhbar New Straits Times, mukasurat 3 akhbar The Star dan media elektronik serta bercetak lainnya. Syed Hamid seharusnya menyedari beliau tidak seharusnya cuba untuk mempengaruhi perkara ini.
Sebagai seorang Menteri Kabinet, komen Syed Hamid boleh dikira sebagai satu usaha yang menggangu dan campur tangan proses penyiasatan yang sedang dijalankan. Beliau dipetik sebagai menyebut, “Apa yang beliau takutkan? Doktor peribadi beliau boleh hadir bersama sewaktu sampel diberi.”
Selain ia menjadi satu usaha campur tangan yang tidak perlu, komen ini menunjukkan salah faham yang fundamental terhadap apa yang sebenarnya menjadi kebimbangan kami berhubung keterangan DNA.
Perbicaraan tahun 1998-99, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa berhadapan fenomena pemalsuan keterangan DNA. Penolong Pesuruhjaya Kanan Rodwan telah secara salah memindahkan sampel DNA yang ada dalam simpanan forensik. Dalam pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaraya yang berjaya mendedahkan DNA yang diambil dari sampel darah tersebut telah ditanam di tilam yang terkenal itu. Bila berhadapan dengan fakta ini, pihak pendakwaraya telah meminda pendakwaannya dan meyakinkan Hakim Augustine Paul untuk membuang seluruh keterangan DNA dari rekod, menghalang peguam Datuk Seri Anwar dari menghujah balas.
Individu-individu yang dikaitkan dengan pemalsuan bukti-bukti sepanjang perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di tahun 1998-1999, ialah Gani Patail, Musa Hasan dan Rodwan, mereka masih merupakan aktor penting kes sekarang, cumanya, hari ini, mereka berada di posisi yang lebih berkuasa dalam aparatus perlaksanaan undang-undang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sebab yang kukuh untuk mempercayai kemungkinan keterangan DNA akan dipalsukan sekali lagi. Ini adalah munasabah kerana petuduh masih dibawah jagaan pihak polis semenjak dari 28 Jun 2008 lagi, dan pihak polis masih memiliki DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kes yang lalu.
Kebimbangan anak guam kami, tidak sebagaimana yang Syed Hamid percaya, hanya dengan menyerahkan sampel DNA melalui doktor peribadinya mahupun pakar forensik asing, ianya akan selesai.
Hanya jika ianya dapat diverifikasikan serta disahkan secara bebas, bahawa semua pemeriksaan kesihatan dan sampel yang diambil dari petuduh mestilah diambil secara profesional serta tanpa sebarang campur tangan dari pihak polis, barulah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan untuk turut serta dalam sebarang analisis DNA.
Kami ingin mengulangi di sini tidak ada sebab serta justifikasi yang munasabah untuk bergantung kepada analisis DNA kerana laporan polis yang dibuat oleh petuduh masih diselubungi kerahsiaan dan segala bukti yang menyokong tuduhan tersebut tidak dibenarkan buat kami untuk membaca serta melihatnya.
Adalah salah untuk mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan untuk bekerjasama dengan pihak polis. Beliau bersetuju untuk menemui pihak polis pada tarikh dan waktu yang diatur. Beliau juga telah memberi kenyataan panjang yang mengambil masa selama 5 jam, juga membenarkan secara sukarela agar seluruh badannya diperiksa dan bahagian sulitnya diukur, bercanggah dengan sumber yang tidak bernama yang dipetik hari ini oleh New Straits Times pada mukasurat 6.
Kami juga ingin menegaskan di sini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi keterangan yang panjang walaupun dia boleh untuk kekal diam kerana itu adalah haknya mengikut undang-undang dan juga kerana Datuk Seri Anwar masih tidak tahu isi kandungan salinan laporan polis petuduh tersebut.
Sivarasa Rasiah
Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jul 18, 2008
APABILA PENIPUAN CUBA DI ULANG, TERBONGKAR CERITA 1998, , MENJADIKAN SISTEM KEPOLISAN DAN KEHAKIMAN TIDAK DI PERCAYAI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment