Sep 14, 2008

Dr Mahadzir Mendedahkan Kelemahan BN dan Peranan Menantu PM dalam politik negara

Kelemahan kepimpinan BN dan kelemahan mengatur strategi dan kelemahan dalaman UMNO serta peranan orang di tingkat 4, mengundang Mahadzir membuat kritikan pedas kepada BN di bawah paklah.

Apabila bekas Bos BN ini membuat kritikan pedas kepada BN, apa erti semuanya ini, relevankah BN atau ini menandakan riwayat BN akan berakhir.

Ikuti petikan dari laman blog dr M di bawah:


1. Terdapat kecenderungan sejak kebelakangan ini untuk menolak Barisan Nasional sebagai tidak lagi bermaya dan penghalang kepada konsep Kerajaan moden yang bebas dan demokratik. Prestasi BN yang lemah pada pilihanraya umum Mac lalu dikatakan pemerhati asing sebagai bukti perubahan sikap, iaitu penolakan politik berlandaskan kaum sebagaimana yang diamalkan sekian lama.

2. Mereka percaya pengundi Melayu, Cina dan India mengundi untuk menukar kepada rejim yang lebih liberal.

3. Saya telah huraikan dalam artikel sebelum ini yang kemerosotan yang dialami Barisan Nasional disebabkan kebencian pengundi terhadap kepimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

4. Mari kita analisa haluan politik Malaysia sehingga ke prestasi buruk pada tahun 2008 supaya kita lebih faham akan apa yang sebenarnya terjadi. Selama setengah abad Kerajaan Perikatan / Barisan Nasional telah mendapat sokongan penuh rakyat berbilang kaum. Walaupun terdapat turun naik dalam sokongan tetapi Barisan Nasional tetap akan menang pilihanraya-pilihanraya umum dengan mendapat 2/3 kerusi Parlimen. Selain Kelantan, negeri-negeri biasanya memilih Kerajaan Barisan Nasional. Sabah pada satu ketika tidak bersama Barisan Nasional.

5. Pada pilihanraya umum tahun 1999 sokongan Melayu kepada Barisan Nasional menurun kerana simpati kepada Anwar Ibrahim. Tetapi kaum Cina menyokong kuat Barisan Nasional dan seperti biasa menentukan majoriti 2/3 tercapai. Demikian orang kuat pembangkang seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang, yang tidak pernah kalah sebelumnya, kehilangan kerusi mereka.

6. Jika terdapat angin perubahan dan penolakan terhadap Barisan Nasional, ianya sepatutnya ditunjuk dalam pilihanraya umum 2004. Tetapi sebaliknya Barisan Nasional mencapai keputusan terbaik dengan mendapat 9/10 kerusi Parlimen, merampas kembali Terengganu dan hampir menawan Kelantan.

7. Semua isyarat menunjuk kepada penerimaan secara bulat Barisan Nasional dan Kerajaan yang ianya telah tubuhkan. Dan kenapa tidak? Bukankah Barisan Nasional telah bina negara ini hingga ianya menjadi negara yang termaju dikalangan negara membangun, mengadakan pilihanraya bebas, membawa kestabilan dan kemajuan ekonomi yang tiada bandingannya dan mencapai tahap keharmonian kaum yang menjadi contoh kepada banyak negara berbilang kaum di dunia.

8. Bukanlah ianya sentiasa tenang. Terdapat juga masalah - politik, ekonomi, agama dan social. Tetapi semua ini tidakpun mengurangkan sokongan terhadap Barisan Nasional atau menganggu kemajuan dan kestabilan negara dibawah Kerajaan BN.

9. Bolehkah sesiapa berkata bahawa Barisan Nasional tidak menyediakan kerajaan yang baik untuk negara ini? Tentulah pihak pembangkang tidak akan berkata demikian. Tetapi pemerhati asing ramai yang kagum melihat kemajuan negara bijih timah dan getah ini bertukar menjadi negara industri yang moden.

10. Terdapat mereka yang sentiasa mengkritik dengan menuduh yang negara ini kurang demokratik, media cetak dan elektronik yang dikawal, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan halangan kepada perdebatan terbuka berkenaan isu-isu sensitif. Tetapi mereka ini tergolong dalam puak minoriti dan amat jelas tidak berjaya mempengaruhi pengundi untuk menolak Barisan Nasional.

11. Selepas kemenangan Barisan Nasional yang menakjubkan pada 2004 kenapakah ianya secara terang ditolak pada 2008? Apa yang terjadi di antara 2004 dan 2008? Mungkinkah selepas 50 tahun menyokong politik berlandaskan kaum pengundi memutuskan untuk menolaknya dan menyokong politik bukan perkauman? Adakah pengundi-pengundi di pedalaman dan di kampung tiba-tiba mengkehendakkan keadaan yang lebih liberal? Jika ya kenapa mereka begitu kuat menyokong PAS, parti yang berlandaskan kaum-agama yang jauh sekali liberal?

12. Mungkin orang Cina lebih berfikiran moden daripada Melayu kampung. Mungkin mereka ini sudah tolak politik perkauman. Tetapi sebanyak mana yang diketahui, orang Cina amat tidak puas hati dengan keadaan ekonomi. Penjaja dan peniaga kecil; sub-kontraktor, pemilik kedai runcit semuanya amat tidak puas hati dengan Kerajaan ini. Mereka amat berhati-hati dalam mengkritik Dato Seri Abdullah tetapi apabila ditekan mereka akui yang mereka mahu Abdullah diusir tetapi takut menyatakannya secara terbuka kerana tidak mahu dituduh menolak kepimpinan Melayu. Mereka juga risau jika perniagaan mereka diganggu seperti disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri.

13. Oleh kerana mereka tidak dapat berbuat apa-apa mereka mengundi pembangkang. Dengan itu Barisan Nasional, selepas mencapai jumlah tertinggi kerusi Parlimen dalam sejarah Perikatan / Barisan Nasional telah tersungkur dan mendapat keputusan yang paling buruk dalam sejarahnya. Adakah penolakan calon-calon Barisan Nasional ini kerana penolakan perikatan Barisan Nasional?

14. Undi yang didapati parti pembangkang bukanlah kerana kemahuan untuk mengganti Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat yang tidak teratur ini. Ianya adalah undi protes. Tetapi apakah protes ini terhadap parti Barisan Nasional? Apakah ianya penolakan politik berlandaskan kaum? Saya tak fikir begitu.


15. Ianya adalah protes terhadap kepimpinan lesu BN dan bukannya terhadap BN itu sendiri. Rakyat melihat pimpinan BN yang tidak berupaya membuat keputusan, tidak berupaya menangani masalah kenaikan kos sara hidup, berdolak-dalik, tidak berjaya merancakkan ekonomi dan yang terutamanya terkenal kerana meletakkan kepentingan keluarga lebih utama daripada negara. Semua orang tahu berkenaan dengan Tingkat 4 dan peranan kroni Khairy Jamaluddin di dalam menetapkan dasar-dasar dan memutuskan aktiviti-aktiviti perniagaan negara. Rakyat melihat golongan muda yang angkuh ini sebagai menyumbang kepada prestasi lemah Perdana Menteri.

16. Barisan Nasional masih lagi parti politik yang terbaik di Malaysia. Ianya memberi banyak ruang penyelesaian kepada masalah parti-parti di Malaysia dan kaum-kaum yang mereka wakili. Dan tidak dapat dinafikan yang BN telah membangunkan Malaysia sebagaimana yang kita lihat hari ini.

17. Amat sedih jika kita, seperti kata pepatah Melayu, "marahkan nyamuk, kelambu dibakar".

18. Apa yang harus dibuat ialah menghalau nyamuk tetapi kelambu terus dipakai.

No comments:

Post a Comment